Khamis, 20 Januari 2022 | 9:20am
 Foto hiasan
Foto hiasan

13 lagi kematian akibat COVID-19

PUTRAJAYA: Sebanyak 13 kematian membabitkan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi, menyumbang kepada 31,831 kes di negara ini.

Data dari laman sesawang COVIDNOW menunjukkan, tiga kematian membabitkan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Sehingga kini, sebanyak 6,420 kes BID akibat COVID-19 dilaporkan di negara ini.

Menurut laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) pula, tiga negeri serta wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan dua kematian manakala Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor, masing-masing mencatatkan satu kes kematian akibat COVID-19, semalam.

Sebanyak 41,129 kes aktif juga dilaporkan semalam, dengan sejumlah besar kes iaitu 34,253 menjalani kuarantin di rumah; seramai 3,989 pesakit menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan seramai 2,725 pesakit lagi dirawat di hospital.

Sementara itu, sebanyak 264,635 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam, membabitkan 258,337 dos ketiga; 4,317 dos kedua dan 1,981 dos pertama.

Sehingga semalam, sebanyak 61,540,069 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada populasi Malaysia.

Sehingga kini, 97.9 peratus populasi dewasa negara sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing manakala 88.2 peratus populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun juga sudah lengkap divaksinasi.

Berita Harian X