Rabu, 19 Januari 2022 | 2:33pm

Kerakyatan ibu tidak diketahui, lelaki kelahiran Sabah warga Malaysia - Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, memutuskan seorang pemuda kelahiran Sabah yang berbapakan rakyat Sarawak dan ibu dipercayai berasal dari Indonesia, adalah warganegara Malaysia.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang menyampaikan keputusan majoriti 2-1 itu berkata, Wong Kueng Hui, 27, memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, dan diberi status kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.

Dalam menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, beliau berkata, Mahkamah Tinggi adalah betul apabila memutuskan pada 2019 bahawa Kueng Hui berhak bawah undang-undang untuk menjadi rakyat Malaysia.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Datuk M Gunalan, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi menentang.

"Selepas meneliti rekod rayuan, kami mendapati tidak ada kesilapan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi.

"Bukti tidak dapat dipertikai menunjukkan Kueng Hui dilahirkan di Hospital Keningau, hasil perkahwinan antara bapa kandungnya yang merupakan rakyat Malaysia dengan ibu yang status kerakyatannya tidak diketahui," kata Che Mohd Ruzima.

Beliau berkata, penghakiman majoriti bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa responden (Kueng Hui) sudah melakukan apa yang mungkin untuk menentukan status kewarganegaraan ibunya.

Sementara itu dalam penghakiman menentang, Azizah berkata, ibu kandung Kueng Hui meninggal dunia ketika umurnya 17 tahun dan adalah tidak benar apabila responden tiada pengetahuan mengenai ibu kandungnya.

"Responden sebenarnya telah membuat pertanyaan dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia. Jadi, responden mengetahui ibunya berasal dari Indonesia. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa terbukti responden tidak bernegara. Saya dengan itu membenarkan rayuan kerajaan tanpa perintah mengenai kos," katanya.

Kueng Hui yang dilahirkan pada 2 Januari 1995, menghadiri prosiding secara maya itu bersama peguamnya, Mohd Haijan Omar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Izhanudin Alias, mewakili Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Menteri Dalam Negeri selaku perayu.

Mahkamah Tinggi pada 21 Oktober 2019 mengiktiraf Kueng Hui yang dilahirkan di Malaysia sebagai individu tanpa negara, dan mengisytiharkannya sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan - peruntukan iaitu mereka yang dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain, berhak bawah undang-undang untuk kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan juga mengarahkan Ketua Pengarah JPN supaya mengeluarkan sijil kewarganegaraan atau kad pengenalan kepada Kueng Hui.

Namun pada 31 Oktober 2019, Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia mengemukakan rayuan dan mendapat penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Bapa Kueng Hui meninggal dunia ketika beliau berusia 10 tahun, sementara ibunya yang bukan warganegara Malaysia, meninggal dunia ketika berusia 17 tahun.

Kueng Hui sebelum ini pernah memohon dua kali bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, tetapi kedua-dua permohonan itu ditolak.

Kueng Hui kemudian mengemukakan tuntutan melalui semakan kehakiman pada 20 Jun 2019 untuk mendapatkan beberapa perintah mahkamah, termasuk untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X