Rabu, 19 Januari 2022 | 2:08pm

'Suri rumah ditemui dalam ketakutan selepas seminggu dilaporkan hilang'

PASIR MAS: Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu, ditemui di Lubok Jong, Pasir Mas kira-kira jam 10 malam tadi dalam keadaan letih dan lesu.

Suaminya, Lokman Hakim Azizi, 26, berkata isterinya, Noor Amira Mohamed, 24, dilaporkan hilang sejak 12 Januari lalu yang ketika itu pulang ke kampungnya di Rantau Panjang untuk menjaga ibunya yang sakit akibat terjatuh tangga.

Lokman berkata, memandangkan dia bekerja di Pahang dan tidak sempat menghantar isterinya balik ke kampung menyebabkan isterinya itu pulang bersendirian dengan menaiki kereta api dan menghantarnya ke Stesen Kereta Api Kuala Lipis.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi pada keesokan harinya, saya terputus hubungan dengan isteri apabila panggilan telefon tidak dijawab selain pesanan ringkas melalui WhatsApp juga tidak berbalas.

"Pada ketika itu, isteri saya sepatutnya sudah sampai ke Stesen Kereta Api Pasir Mas dan berada di rumahnya, namun dia tidak sampai di rumah sebagaimana yang sepatutnya dan selepas 24 jam dilaporkan hilang dan tidak dijumpai, ibu mentua saya terus membuat laporan polis di balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Noor Amira Mohamed yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui di Lubok Jong, Pasir Mas kira-kira jam 10 malam tadi. - Foto ihsan Lokman Hakim Azizi
Noor Amira Mohamed yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui di Lubok Jong, Pasir Mas kira-kira jam 10 malam tadi. - Foto ihsan Lokman Hakim Azizi

Lokman Hakim berkata, dia difahamkan, sebaik isterinya itu tiba di Stesen Kereta Api Pasir Mas, ada individu yang melihat isterinya duduk termenung di atas bangku dan dipercayai disapa seorang pemandu kereta sewa yang kemudian membawa isterinya pergi.

"Bimbang keselamatan isteri, pada hari sama isteri dilaporkan hilang, saya menular berita kehilangannya menerusi laman sosial dengan harapan dia ditemui segera dan pada keesokan harinya iaitu pada 13 Januari saya pulang ke Kelantan untuk mencari isteri di setiap daerah sehingga ke Terengganu.

"Bagaimanapun, pencarian isteri berakhir apabila saya dihubungi pihak polis yang memberitahu isteri saya sudah ditemui malam tadi dan berterima kasih serta bersyukur kerana dia ditemui dalam keadaan selamat walaupun masih dalam ketakutan.

"Buat masa ini, isteri saya masih penat dan mahu dia berada dalam keadaan tenang dan menunggu masa yang sesuai untuk dia bercerita kepada saya apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Berita Harian X