Rabu, 19 Januari 2022 | 12:01pm
Gambar hiasan - penerima vaksin dos penggalak
Gambar hiasan - penerima vaksin dos penggalak

ProtectHealth buat audit rawak pastikan pematuhan kualiti pemberian vaksin

KUALA LUMPUR: Pengamal perubatan swasta (PPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang gagal mematuhi piawaian kualiti pemberian vaksin, akan dikenakan tindakan penggantungan lesen operasi.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) ketika mengutarakan amaran itu, berkata pihaknya mempunyai mekanisme tertentu, termasuk melakukan audit rawak terhadap PPS berdaftar mengikut Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan kemudahan kesihatan yang berlesen dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, pendekatan itu dibuat bagi memastikan syarat penerimaan PPS dan NGO kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sahih serta termaktub mengikut akta berkaitan.

"PPS dan NGO kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi serta menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth, KKM.

"Sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, ProtectHealth akan mengambil tindakan yang perlu dan mungkin menggantung PPS serta NGO kesihatan daripada menjalankan vaksinasi dalam PICK.

"Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth.

"Selain itu, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berita Harian X