Rabu, 19 Januari 2022 | 9:39am
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah.

Haim Hilman dilantik Naib Canselor baharu UUM

PUTRAJAYA: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang baharu, berkuat kuasa Isnin lalu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, berkata sebagai Universiti Berfokus yang cemerlang dengan bidang fokus utama, pihaknya percaya segala pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Haim Hilman mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan.

"Seterusnya beliau dapat meneruskan kesinambungan UUM sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan di dalam dan luar negara.

"Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau menerajui UUM selama tiga tahun sejak 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.

Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.

Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia.

Berita Harian X