Selasa, 18 Januari 2022 | 11:29pm
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP/ASWADI ALIAS.
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Serah kepada siasatan polis, tidak campur tangan - Idris

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung tuduhan isu moral dikaitkan dengan seorang pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menterinya, Idris Ahmad, menegaskan jabatan berkenaan sama sekali tidak akan mencampuri bidang kuasa pihak polis dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Semua pihak diminta akur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus dan terperinci.

"Ia akan memberi keadilan kepada semua pihak yang terkait dalam isu berkenaan.

"Sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan, perlulah dihentikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, dikatakan memuat naik video dalam media sosial berhubung Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar didakwa terbabit kes gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Susulan itu, Mohd Na'im menghantar notis tuntutan saman kepada Lokman Noor kerana didakwa memfitnah serta mengaibkan Hakim Mahkamah Syariah berkenaan menerusi media sosial.

Berikutan isu sama, Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Ibrahim Deris, dilapor mencadangkan supaya Mohd Na'im direhatkan sementara sehingga siasatan terhadapnya selesai.

Namun peguam kepada Mohd Na'im, Datuk Akberdin Abdul Kader pula dipetik berkata Ibrahim tidak berhak campur tangan dan membuat gesaan berkenaan.

Berita Harian X