Selasa, 18 Januari 2022 | 7:15pm
Ahmad Bestari Ali,
Ahmad Bestari Ali,

Pengguna lebih gemar guna Touch 'n Go, SmarTAG

KUALA LUMPUR: Lebih gemar penggunaan kad Touch 'n Go dan SmartTAG, berbanding teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Itu reaksi beberapa pengguna lebuh raya ditemui BH susulan penggunaan teknologi itu di Lebuhraya Utara-Selatan, membabitkan laluan Juru di Pulau Pinang hingga Skudai di Johor yang beroperasi sepenuhnya mulai jam 10 malam Sabtu lalu, namun dilapor menyebabkan kesesakan di beberapa plaza tol.

Bagi Sharifah Nabihah Syed Adil, 35, dia tidak menolak teknologi atau sistem baharu yang diperkenalkan, namun sudah menjangkakan RFID akan berdepan masalah kerana diperkenalkan secara drastik.

"Seperti kita maklum, apabila sesuatu yang baharu diperkenalkan secara drastik, ia akan menjadi 'hype' dalam kalangan masyarakat dan sepatutnya pihak berkepentingan sudah bersedia dengan situasi ini. Saya sememangnya menjangkakan isu (kesesakan) ini.

"Disebabkan itu, penting untuk saya kekal juga dengan sistem lama, iaitu penggunaan SmartTAG kerana ia lebih memudahkan ketika ini. Saya tidak menolak RFID, tetapi penambahbaikan perku dibuat sepenuhnya," katanya mengakui ketika ini, penggunaan Touch 'n Go sememangnya membantu ketika di plaza tol.

Pekerja bebas, Ahmad Bestari Ali, 36, pula berkata, pihak berkepentingan dalam menyediakan sistem RFID perlu bersedia lebih 200 peratus apabila mahu menukar sistem sedia ada kerana semua pihak mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

"Apabila digembar-gemburkan RFID sebagai sistem yang lebih baik, lebih cepat dan lebih memudahkan, sudah tentu semua pihak mengharapkan demikian. Namun apabila awal-awal lagi perkara tidak sepatutnya berlaku sehingga ada yang lewat masuk kerja dan urusan terganggu (disebabkan kesesakan di plaza tol), pasti ia menimbulkan keresahan ramai.

"Sebab itulah ramai beranggapan sistem sedia ada adalah yang terbaik ketika ini sehingga menutup manfaat yang mungkin ada dalam sistem RFID," katanya.

Eksekutif perhubungan awam, Syed Musaddad Syed Mahadi, 38, bagaimanapun yakin RFID mampu memberi keselesaan lebih baik untuk pengguna lebuh raya meskipun ramai mendakwa sistem sedia ada lebih berkesan.

"Saya hanya guna Touch 'n Go sebelum ini dan apabila RFID diperkenalkan, sudah tentu saya mahu menggunakannya kerana berasakan ia mudah dan cepat. Namun, apabila ada isu kesesakan dan sistem ini tidak mampu mengesan di plaza tol, sudah tentu ia perlu diselesaikan dengan segera.

"Sebagai negara maju, saya lihat RFID ini teknologi ke hadapan dan perlu diteruskan, walaupun ia sudah diperkenalkan bertahun lamanya. Rakyat hari ini mahukan sistem yang mempercepatkan mereka dan jika ia semakin melambatkan urusan, nampaknya sesuatu harus difikirkan oleh pihak terbabit dengan segera," katanya.

Berita Harian X