Selasa, 18 Januari 2022 | 4:23pm
(Gambar fail) Pensyarah undang-undang UIAM, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - NSTP/OWEE AH CHUN
(Gambar fail) Pensyarah undang-undang UIAM, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - NSTP/OWEE AH CHUN

PSC tertakluk kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri masih tertakluk kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat untuk memanggil mana-mana individu, termasuk penjawat awam menghadiri mesyuarat atau prosiding mereka.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata PSC juga masih perlu mengemukakan usul bagi mendapatkan persetujuan Dewan Rakyat mengenai keperluan menjalankan sesuatu prosiding.

Dalam kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, katanya, alasan beliau untuk tidak menghadiri mesyuarat itu atas sebab proses memanggilnya seolah-olah tidak teratur, dilihat wajar.

"PSC ini kalau mahu bersidang, tertakluk kepada peraturan sidang Parlimen. Contohnya, kalau ada peraturan mesyuarat menyatakan sebelum panggil penjawat awam, perlu ada satu usul dibentangkan di Dewan Rakyat. Justeru kalau tiada usul, bagaimana PSC boleh panggil.

"Bukanlah bermakna PSC ini tiada kuasa, namun ia sebenarnya tertakluk kepada peraturan Dewan Rakyat. Contohnya juga jika Dewan Rakyat pula tidak bersidang, bagaimana mereka mahu membentangkan usul," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana penjawat awam memberi maklum balas atau mempersoalkan mengenai proses memanggilnya, bukanlah bermakna individu itu menolak untuk hadir.

"Kalaulah Tan Sri Azam Baki menyatakan ia mungkin tidak mengikut prosedurnya, bukanlah bermakna beliau tidak mahu hadir. Beliau boleh hadir, saya rasa tiada masalah. Ini pandangan sayalah.

"Kalau beliau datang tetapi PSC tiada kuasa yang dibenarkan oleh peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, maka seolah-olah mesyuarat tidak wujud. Walaupun beliau datang, mesyuarat itu tidak dianggap sah," katanya.

Nik Ahmad Kamal menjelaskan, ramai rakyat keliru mengenai peranan antara PSC dengan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dipengerusikan Tan Sri Rais Yatim yang juga Speaker Dewan Negara.

"Saya rasa ramai keliru antara PSC dengan JKMR. JKMR lebih tidak begitu tertakluk dengan peraturan Parlimen, terutama dalam urusan mereka memantau SPRM. Ini kerana JKMR memang badan yang dilantik (oleh Yang di-Pertuan Agong) untuk memantau SPRM.

"PSC pula tertakluk kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat. Sudah pasti ada proses tertentu yang mereka perlu ikut dulu sebelum memanggil mana-mana pihak untuk menghadiri mesyuarat mereka," katanya.

Beliau mengulas bantahan empat Ahli Parlimen yang juga ahli PSC terhadap keputusan penundaan mesyuarat PSC, yang sepatutnya dijadualkan berlangsung esok.

Surat penangguhan yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin, bertarikh semalam itu antara lain menyatakan sebab penangguhan, berikutan ada beberapa isu perundangan memerlukan pandangan undang-undang daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen terlebih dahulu.

Berita Harian X