Selasa, 18 Januari 2022 | 3:50pm

SC tak kesan kesalahan Azam Baki bawah Seksyen 25(4)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

"SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA telah berlaku," katanya dalam satu maklum balas hari ini mengenai siasatan SC terhadap akaun dagangan Azam di bawah seksyen berkenaan.

Tan Sri Azam Baki.
Tan Sri Azam Baki.

SC menjelaskan, sebagai pengawal selia pasaran modal, bidang kuasa kawal selia mereka ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), dan Industri Sekuriti (Depositori Pusat) Akta 1991 (SICDA).

"Dalam hal ini, siasatan itu berkaitan dengan isu sama ada potensi pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Depositori Pusat Sekuriti 1991 (SICDA) berlaku.

"Seksyen 25(4) SICDA pula memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa," katanya.

SC pada 6 Januari lalu meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Ketua Azam Baki memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Kata SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

"Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan," kata kenyataan itu.

Azam dalam satu sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, saham-saham yang dibelinya adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Berita Harian X