Selasa, 18 Januari 2022 | 12:27pm
Kakitangan KKM menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot, di sini, yang mengesahkan 44 pelajar positif COVID-19 sehingga semalam. - Foto Ihsan Pembaca
Kakitangan KKM menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot, di sini, yang mengesahkan 44 pelajar positif COVID-19 sehingga semalam. - Foto Ihsan Pembaca

44 pelajar sekolah berasrama penuh positif COVID-19

KOTA BHARU: Seramai 44 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot di sini, dikesan positif COVID-19, sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kluster yang membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada Jumaat lalu, sebagai Kluster Embi Telipot.

Katanya, siasatan dijalankan dan mendapati seramai 256 orang kontak rapat yang dikenal pasti.

"Semua kontak rapat ini diarahkan untuk menjalani kuarantin. Mereka juga dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu.

"Sehingga semalam, seramai 44 kes yang dikesan positif COVID-19 membabitkan semua pelajar asrama sekolah itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.

Mengulas berhubung dakwaan tular yang mendakwa kes COVID-19 itu berpunca daripada seorang pelajar di mana ibu bapanya baharu pulang dari menunaikan umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron, Dr Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar kerana belum ada keputusan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar berkenaan.

"Namun, pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kes di sekolah itu.

"Kita sahkan, ada kluster COVID-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan mesej yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan masyarakat.

Berita Harian X