Selasa, 18 Januari 2022 | 10:33am
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.- Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.- Foto fail NSTP

Selesaikan perselisihan di meja rundingan - PPMM

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa semua pihak dalam institusi kehakiman syariah tidak menggunakan media bagi menegakkan pendirian masing-masing, sebaliknya kembali ke meja rundingan untuk berbincang demi memelihara integriti, kewibawaan dan maruah institusi itu.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata polemik berbalas kenyataan menyerlahkan perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi syariah di negara ini.

"PPMM melahirkan rasa dukacita dengan penularan isu status moral seorang hakim kanan syariah, baru-baru ini.

"Kes berkenaan sudah berada di dalam siasatan Polis Diraja Malaysia(PDRM) ketika ini. PPMM akur serta menanti hasil siasatan berkenaan dan tidak mahu mengambil pendirian ataupun mendahului siasatan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal berkata, pertikaian di media massa dan media sosial hanya akan memburukkan lagi persepsi masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah, ditambah dengan peguam pihak tertentu turut berbalas kenyataan.

"PPMM memandang serius permasalahan berkenaan dan demi mengembalikan nama baik institusi ini, adalah wajar ia diselesaikan secara baik mengikut ajaran Islam.

"Penyelesaian ini haruslah dilakukan seumpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerakan," katanya.

Beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memandang serius untuk menyelesaikan polemik perpecahan dalaman berkenaan.

"Menteri Agama sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), perlu menyelesaikan polemik ini segera supaya jabatan ini tidak mengalami defisit kepercayaan daripada orang awam sebagaimana dialami beberapa institusi lain.

"PPMM percaya, perpecahan ini sudah lama membarah tetapi tidak diendahkan oleh pihak berwajib. Hakim yang berwibawa dalam kalangan mediator bertauliah bukan terdiri daripada kalangan pengamal undang-undang dan kehakiman wajar dilantik untuk memudahkan perjalanan perbincangan kesemua pihak," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam memuat naik video di media sosial mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar terbabit dalam kes gangguan seksual membabitkan seorang wanita.

Susulan daripada itu, Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PPSM) mengeluarkan beberapa pandangan berbeza dengan Presidennya, Ibrahim Deris mencadangkan Mohd Na'im direhatkan bagi memudahkan siasatan.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Muhammad Yusro Borhan Nordin menafikan kenyataan akhbar dikeluarkan Presiden persatuan itu dibuat secara kolektif kerana ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

Berita Harian X