Isnin, 17 Januari 2022 | 6:22pm

Persatuan peguam pengantara selesaikan isu remaja 'mandi jenazah'

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) akan bertindak sebagai pengantara melaksanakan saranan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu remaja yang dimandikan ala 'jenazah' kerana cuba mencuri tabung masjid.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata mahkamah mengambil pendirian sedemikian selepas mendengar hujahan daripada semua pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah menyarankan supaya individu yang merakam, menyebarkan dan semua ahli keluarga tertuduh, Daniel Iskandar untuk cuba menyelesaikan perkara terbabit dengan cara terbaik menerusi bantuan PPMM.

"PPMM akan meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam dan akan sesegera mungkin, mengambil langkah yang perlu dalam membantu sebagai 'sahabat mahkamah' bagi melaksanakan saranan berkenaan semampunya.

"PPMM akan seterusnya memajukan laporan lengkap yang berkaitan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam kelak," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel, selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Sebaliknya, remaja terbabit diarah melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari dan diingatkan untuk wajib hadir mengikut jadual serta mematuhi aktiviti khidmat masyarakat, selama 120 jam sepanjang enam bulan.

Susulan semakan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Daniel kini mempunyai rekod bersih daripada hukuman berkenaan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman oleh Mahkamah Majistret Selayang tidak mencerminkan bentuk pemulihan.

Isu itu menjadi kontroversi selepas video remaja berkenaan dimandikan seperti jenazah kerana perbuatannya itu apabila beberapa pihak menyifatkan tindakan itu keterlaluan.

Bagaimanapun, pihak masjid berkenaan mempertahankan tindakan mereka kerana menyifatkan ia berbentuk pengajaran sebaliknya individu yang menyebarkan video berkenaan yang mencetuskan kontroversi.

Berita Harian X