Isnin, 17 Januari 2022 | 5:45pm
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penggiat industri penternakan daging babi. - Foto NSTP
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penggiat industri penternakan daging babi. - Foto NSTP

Tingkat tahap biosekuriti, bendung demam babi Afrika

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penggiat industri penternakan daging babi dengan menggandakan tahap biosekuriti, bagi membendung penularan Demam Babi Afrika ke seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata susulan ladang babi di Paya Mengkuang, Melaka dijangkiti virus berkenaan, JPV turut mengarahkan supaya permit pemindahan babi termasuk produk berasaskan haiwan itu antara ladang diperketatkan.

Beliau berkata, ia mustahak supaya orang perseorangan yang terbabit dalam rantaian berkaitan babi termasuk kenderaan yang keluar masuk dari ladang berkenaan dikawal selia, bertujuan mengekang penyebaran virus ke kawasan lain.

"Kawal selia orang perseorangan dan kenderaan keluar masuk diperketatkan. Kita adakan tiga siri libat urus bersama pemain industri, penternak babi dan pihak terbabit dalam industri babi termasuk pembekal makanan, doktor veterinar, pasukan rawatan, pegawai terbabit menjalankan penyiasatan termasuk tukang sembelih dan rumah sembelihan.

"Kita nasihatkan mereka untuk meningkat dam menggandakan tahap biosekuriti mereka terhadap kawal selia pergerakan keluar masuk orang perseorangan dengan kenderaan dan lakukan dua kali semburan terhadap semua orang serta kenderaan yang keluar masuk dari ladang babi.

"Kemudian kita perketatkan sedikit permit pemindahan babi dan produk babi di antara ladang dengan ladang khususnya di Paya Mengkuang dan kita juga mengaktifkan program pengawasan dan pemeriksaan klinikal bukan saja di kesemua 35 ladang babi di Paya Mengkuang, malah di kesemua ladang babi seluruh Malaysia.

"Ini kerana kita nak pastikan supaya tidak ada virus Demam Babi Afrika yang terlepas dari kawasan Paya Mengkuang," katanya pada sidang media selepas merasmikan webinar pelesenan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, di sini, hari ini.

Mengulas situasi semasa penyakit Demam Babi Afrika di Paya Mengkuang dekat Masjid Tanah, Melaka, Dr Norlizan berkata setakat semalam pihaknya mengesan 19 daripada 35 keseluruhan ladang di lokaliti itu dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, sebanyak 16,000 babi sudahpun dimusnahkan bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit Demam Babi Afrika menerusi dasar 'stamping out' yang menggunapakai kaedah gas CO2 berkepekatan tinggi, berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan - Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum ditanam.

"Kita jangka akhir minggu ketiga bulan ini akan selesai musnah 16,000 babi sekiranya tidak ada ladang babi lain yang terkesan (dengan virus Demam Babi Afrika).

"Jangan khuatir kerana penyakit Demam Babi Afrika bukan penyakit zoonotik dan ia tidak akan menjangkiti manusia. Ia cuma sangat spesifik kepada babi.

"Ia (situasi di Paya Mengkuang) tidak akan memberi kesan terhadap bekalan daging babi pada sambutan Tahun Baharu Cina. Keseluruhan di situ ada 35 ladang. Seluruh negara ada 456 ladang babi dengan keseluruhan populasi 1.4 juta ekor," katanya.

Sementara itu, mengenai webinar yang berlangsung pada tadi, Dr Norlizan berkata JPV melaksanakan penguatkuasaan pelesenan aktiviti membabitkan haiwan yang berkuatkuasa pada bulan ini.

Jelasnya, ia membabitkan aktiviti penginapan haiwan, menunggang dan mengepung haiwan, tempat perlindungan haiwan serta jualan haiwan hidup dalam kurungan bersandarkan kehendak Seksyen 15 Akta Kebajikan Haiwan 2015,

Peraturan-Peraturan Kebajikan Haiwan (Fi Pelesenan) 2021.

"Pemohon lesen bagi menjalankan aktiviti melibatkan haiwan perlu dibuat secara dalam talian melalui laman web http://awa/dvs.gov.my.

"Permohonan lesen baharu memerlukan fi sebanyak RM100 untuk tempoh setahun. Sementara bagi pembaharuan lesen, fi sebanyak RM50 diperlukan bagi tempoh tiga tahun," katanya.

Berita Harian X