Isnin, 17 Januari 2022 | 4:46pm
Remaja, Daniel Iskandar,19, dibawa keluar selepas hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama enam bulan
Remaja, Daniel Iskandar,19, dibawa keluar selepas hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama enam bulan

'Patuh khidmat masyarakat atau kembali ke penjara' - Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM: Remaja, Daniel Iskandar, yang hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadapnya diketepikan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diarah melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari.

Selain itu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abd Halim Aman, mengingatkan remaja terbabit yang dia wajib hadir mengikut jadual dan mematuhi setiap aktiviti khidmat masyarakat yang ditetapkan.

"Mahkamah juga memerintahkan supaya khidmat masyarakat itu hanya dilakukan terhadap kerja di masjid sahaja.

"Pesalah muda juga diwajibkan hadir dan mengikut jadual serta program yang ditetapkan oleh pegawai JKM," katanya ketika membacakan hukuman terhadap remaja itu hari ini.

Beliau berkata, sekiranya gagal melaksanakan perintah khidmat masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan, Daniel boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan dihukum mengikut peruntukan asal.

Perintah itu dikeluarkan hakim berkenaan selepas mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dikenakan terhadapnya selepas mengaku bersalah atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hukuman itu sebaliknya digantikan oleh hakim dengan khidmat masyarakat selama 120 jam sepanjang tempoh enam bulan.

Susulan keputusan mahkamah, Daniel kini mempunyai rekod bersih daripada hukuman berkenaan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman oleh Mahkamah Majistret Selayang tidak mencerminkan bentuk pemulihan.

Abdul Halim berkata, selepas meneliti hukuman yang dijatuhkan, beliau memutuskan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang adalah keterlaluan.

"Mengikut fakta kes, pesalah muda ini mengaku pada peringkat pertama pertuduhan dibaca, lahir daripada keluarga susah, tidak berpendidikan tinggi dan tinggal bersama datuk selepas ibu bapa bercerai.

"Diakui bahawa mencuri adalah satu kesalahan tetapi ia bukan jenayah yang berat, apa yang dilakukan hanyalah cubaan semata-mata," katanya

Mahkamah berpendapat hukuman paling sesuai ke atas pesalah itu adalah perintah khidmat masyarakat dan bukan dihantar terus ke penjara.

"Hukuman khidmat masyarakat dapat mengelak pesalah muda bercampur dengan penjenayah berat dan tegar," katanya.

Terdahulu ketika prosiding, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Daniel memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya ketika kejadian berusia 18 tahun empat bulan.

"Tertuduh masih muda, mempunyai masa depan dan kesalahan itu adalah kali pertama dilakukannya.

"Sehubungan itu, pihak kami memohon hukuman ditukarkan mengikut Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah (CPC)," katanya.

Muhammad Rafique berkata, walaupun anak guamnya akan dibebaskan, namun, rekod penjara 10 hari dan denda RM4,000 boleh menjejaskan masa depannya.

"Saya mohon budi bicara mahkamah menggunapakai Seksyen 173A CPC dengan memberi teguran dan amaran tegas.

"Saya juga memohon supaya rekod penjara dipadamkan kerana boleh merisikokan masa depannya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, berhujah tiada ketidakpatuhan prosedur daripada pihak polis, pendakwaan dan penghakiman Mahkamah Majistret Selayang.

"Jadi tidak perlu semakan dibuat kerana hukuman sudah diputuskan, malah denda dibayar Jumaat lalu.

"Selain itu, hukuman penjara 10 hari yang ditetapkan akan tamat hari ini," katanya.

Pada prosiding itu peguam Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy, turut bertindak mewakili Daniel.

Turut hadir, peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Peguam, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Minggu lalu, media melaporkan seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.

Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Berita Harian X