Isnin, 17 Januari 2022 | 2:09pm
Zailani (kiri) pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 JPJ di Putrajaya. - Foto/NSTP Samadi Ahmad
Zailani (kiri) pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 JPJ di Putrajaya. - Foto/NSTP Samadi Ahmad

1,193 saman p-hailing langgar lampu merah tahun lalu

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,193 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) bagi kesalahan melanggar lampu merah antara 7 Oktober hingga 8 November tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, berkata saman itu dikeluarkan pihaknya menerusi Ops Merah selepas mendapati pemandu p-hailing sengaja melakukan kesalahan itu.

Katanya, Ops Merah dijalankan bagi mengekang tindakan penunggang p-hailing yang mengejar trip ketika menghantar barangan dan tidak menghiraukan lampu merah.

"Tindakan melanggar lampu merah bukan hanya membahayakan diri, malah kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 JPJ, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi, Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa, Datuk Lokman Jamaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah-langkah yang diambil JPJ dalam menangani kes kemalangan jalan raya yang kebanyakannya membabitkan khidmat p-hailing.

Katanya, selain kesalahan melanggar lampu merah, sebanyak 3,215 saman direkodkan membabitkan p-hailing atas kesalahan lain antaranya memandu bawah umur, tidak memakai topi keledar dan menggunakan telefon pintar ketika memandu.

"JPJ turut mengadakan advokasi dengan syarikat p-hailing dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dalam usaha mendidik pemandu dan penunggang p-hailing untuk mematuhi peraturan jalan raya yang dilaksanakan secara konsisten," katanya.

Berita Harian X