Isnin, 17 Januari 2022 | 10:41am
Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh. - NSTP/Asyraf Hamzah
Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh. - NSTP/Asyraf Hamzah

Hospital swasta sedia bantu kerajaan selesaikan 50,000 kes tertangguh

KUALA LUMPUR: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyatakan komitmen untuk membantu menyelesaikan 50,000 kes tertangguh membabitkan pembedahan dan prosedur perubatan bukan COVID-19 di hospital kerajaan.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh, berkata hospital swasta bersedia untuk meneruskan usaha itu, yang sudah bermula tahun lalu khususnya ketika kapasiti hospital kerajaan mencapai kemuncak sewaktu penularan varian Delta.

Justeru, beliau berharap perbincangan antara pihak hospital swasta dengan kerajaan dapat diadakan segera, bagi memutuskan kaedah membantu menguruskan 50,000 kes tertangguh berkenaan.

"Kami gembira untuk meneruskan usaha ini bagi membantu 50,000 pesakit di hospital kerajaan yang sedang menunggu mendapatkan rawatan.

"Perbincangan secara terperinci berhubung kaedah pelaksanaannya perlu dilakukan segera.

"Baki pesakit yang tidak dapat dirawat segera di fasiliti awam, perlu dipindahkan ke hospital swasta pada kadar bayaran balik yang berpatutan, seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu.

"Ia akan membantu menyelesaikan kes tertangguh berkenaan pada kadar yang pantas, kerana adalah tidak realistik untuk hospital kerajaan melaksanakannya secara sendirian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kuljit memaklumkan, proses pemindahan pesakit bukan COVID-19 dari hospital kerajaan ke hospital swasta pada tahun lalu, berjalan lancar di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau memberi jaminan bahawa hospital swasta memiliki konsultan, pakar dan jururawat yang berkelayakan untuk menguruskan pembedahan serta prosedur perubatan tertangguh itu.

"Lebih 95 peratus pakar di hospital swasta dilatih secara formal dan pernah bekerja di hospital awam sebelum ini.

"Di beberapa kawasan di negara ini, terdapat lebih banyak hospital swasta berbanding hospital kerajaan.

"Walaupun jumlah katil di hospital swasta mungkin lebih kecil, fasiliti untuk pemeriksaan dan rawatan boleh diwujud berdasarkan kapasiti serta keupayaan setiap hospital swasta," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Kuljit menzahirkan sokongan hospital swasta terhadap cadangan kerajaan untuk reformasi sistem penjagaan kesihatan dan sistem kewangan penjagaan kesihatan negara.

Beliau berkata, APHM sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan terbabit dalam Suruhanjaya Reformasi Kesihatan apabila ia diluluskan di Parlimen.

"Langkah awal merawat pesakit hospital kerajaan di hospital swasta dengan dana berpatutan daripada kerajaan, akan menjadi sebahagian daripada pembangunan dasar penjagaan kesihatan yang baharu untuk masa depan," katanya.

Berita Harian X