Ahad, 16 Januari 2022 | 2:32pm
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim (tengah) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad Danial, 25 di rumahnya di Kampung Sukamari, Pendag. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim (tengah) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad Danial, 25 di rumahnya di Kampung Sukamari, Pendag. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Penghantar makanan terbabit kemalangan terima bayaran RM1.3 juta

PENDANG: Seramai 764 penghantar makanan terbabit kemalangan di seluruh negara menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM1.3 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata bayaran itu membabitkan individu yang hilang upaya sementara serta kekal dan faedah perubatan, orang tanggungan serta yang meninggal dunia.

"Bagi setiap permohonan diterima, kita akan proses segera sekiranya dokumen yang dihantar lengkap termasuk pengesahan doktor...paling lama dua atau tiga bulan sahaja mereka akan terima bayaran.

"Dalam sudut perlindungan dan kebajikan ini, setiap pekerja perlu beri perhatian kerana dalam apa jua kerja sekalipun di dunia ini ada risiko. Jadi kerana berisiko, pekerja perlu beri tumpuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan, Hussain Mohamad Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari di sini, hari ini.

Hussain yang juga penuntut sebuah univerisiti di Mesir terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan pada Jun tahun lalu, menyebabkan paha kiri dan tulang pinggul kirinya patah.

Sementara itu, Awang berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 2.38 juta orang bekerja sendiri di seluruh negara membuat caruman PERKESO tahun ini.

Katanya, setakat ini hanya 15.03 peratus atau 358,214 orang bekerja sendiri mencarum dengan pertubuhan keselamatan itu.

"Kita galakkan orang bekerja sendiri mencarum di bawah PERKESO kerana jika berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, mereka boleh mendapat pelbagai faedah.

"Sekurang-kurangnya faedah yang diterima itu boleh meringankan beban keluarga ketika mereka tidak dapat bekerja sementara," katanya.

Berita Harian X