Ahad, 16 Januari 2022 | 1:38pm
Rumah yang menjadi lokasi seorang lelaki memenggal kepala ibunya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, semalam. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Rumah yang menjadi lokasi seorang lelaki memenggal kepala ibunya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, semalam. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Alunan bacaan al-Quran di rumah wanita dipenggal kepala

KUALA SELANGOR: Alunan bacaan ayat suci al-Quran memecah keheningan sunyi rumah seorang wanita yang kepalanya dipenggal oleh anak kandung sendiri di Kampung Baru Pasir Penambang, hari ini.

Tinjauan hari ini mendapati ahli keluarga mangsa berada di lokasi kejadian untuk kerja pembersihan. Kelihatan juga barangan seperti tilam, bantal, permaidani, kerusi dan beberapa barangan lain diletakkan di bahagian luar rumah.

Ketika dihampiri pihak media yang tiba pada jam 10 pagi tadi, ahli keluarga wanita itu enggan untuk ditemuramah.

Beberapa barangan yang diletakkan di luar bagi kerja-kerja pembersihan. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Beberapa barangan yang diletakkan di luar bagi kerja-kerja pembersihan. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Seorang menantu mangsa yang enggan dikenali memaklumkan, jenazah ibu mentuanya sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Maaf buat masa ini kami tidak mahu ditemubual pihak media kerana masih terkejut dengan kejadian ini.

"Keluarga mohon media memberi ruang kepada kami untuk bertenang kerana masih dalam keadaan bersedih," katanya, dekat sini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup memenggal kepala ibu kandungnya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 5.45 petang.

Katanya, siasatan mendapati mangsa berusia 56 tahun dibunuh anaknya berusia 28 tahun sebelum ditemukan di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Berita berkaitan:

  • Jiran terkejut lihat rumah berlumuran darah
  • Anak penggal kepala ibu hingga maut
  • Berita Harian X