Ahad, 16 Januari 2022 | 1:06pm

PDRM serah Mahkamah Tinggi semak keputusan - Razarudin

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kes remaja dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung sebuah masjid di Rawang, Selangor, kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak keputusan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata biarlah kes itu dikendalikan Mahkamah Tinggi tanpa sebarang ulasan PDRM buat masa ini.

"Polis tidak boleh beri pandangan begitu sahaja apatah lagi Mahkamah Tinggi Shah Alam dilaporkan akan menyemak semula hukuman yang dijatuhkan terhadap remaja berkenaan.

"Biarlah Mahkamah Tinggi semak dahulu hukuman remaja berkenaan. Buat masa ini PDRM tidak mahu mengulas mengenai kes ini.

"Siasatan polis sudah selesai dan remaja berkenaan juga sudah dituduh di mahkamah, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam esok," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Mahkamah Majistret Selayang Khamis lalu dilaporkan, menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja itu, Daniel Iskandar, 19.

Hukuman terhadap remaja itu dijatuhkan selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Terdahulu, video remaja berkenaan tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' termasuk dilumur dengan kapur barus akibat cuba mencuri tabung masjid berkenaan.

Berikutan itu, wujud perdebatan umum di media sosial apabila ada pihak menyokong tindakan pengurusan masjid sebagai pengajaran, namun setengah pihak yang lain menyifatkan tindakan kariah masjid memandikan remaja seperti jenazah itu bertentangan undang-undang dan keterlaluan.

Semalam pula, media melaporkan, Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan kes remaja lelaki itu.

Pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang menjatuhkan hukuman itu ditetapkan esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dilaporkan berkata prosiding semakan itu ditetapkan mengikut peruntukan mengikut Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain (tengah) dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin (kiri) serta Ketua Polis Johor yang baharu, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Dewan Auditorium, IPK Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain (tengah) dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin (kiri) serta Ketua Polis Johor yang baharu, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Dewan Auditorium, IPK Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X