Ahad, 16 Januari 2022 | 12:36pm
Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader
Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader

Ibrahim tak berhak minta Ketua JKSM direhatkan - Akberdin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Ibrahim Deris tidak berhak campur tangan dan membuat gesaan supaya Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar direhatkan sehingga siasatan terhadapnya selesai.

Peguam kepada Mohd Na'im, Datuk Akberdin Abdul Kader mendakwa Ibrahim pernah mengambil tindakan menyaman Ketua Pengarah JKSM itu dan kenyataan dikeluarkannya bermotifkan dendam.

"Walaupun Presiden PPSM, Ibrahim sudah saman anak guam saya atas alasan Mohd Na'im dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memindahkannya yang berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ke Mahkamah Syariah di Perlis.

"Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes berkenaan, jadi mungkin sebab itu dia berdendam. Kemudian, pada Disember lalu, wanita terbabit membuat laporan polis.

"Sebab itu bila dia gesa anak guam saya direhatkan, keputusan itu tidak adil sebab dia bukan orang yang bebas," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, BH melaporkan Mohd Na'im memaklumkan beliau dalam proses mendapatkan nasihat peguam berhubung gesaan Presiden PPSM supaya dia direhatkan sehingga siasatan berkaitannya selesai.

Terdahulu, Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu bertujuan memudahkan siasatan dan bagi memelihara imej institusi Kehakiman Syariah.

Akberdin turut mendakwa, Ibrahim dikenal pasti sebagai seorang daripada individu yang terbabit dalam konspirasi untuk menjatuhkan anak guamnya.

"Saya adalah peguam yang mewakili MAIWP dalam kes saman berkenaan sementara Mohd Na'im diwakili Peguam Negara.

"Ibrahim dikatakan memang marah kepada Mohd Na'im dan JKSM, selain mengaitkan anak guam saya sebagai punca beliau ditukarkan, padahal ia adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Menteri Agama (ketika itu)," katanya.

Beliau berkata, Ibrahim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bersifat 'menghukum' dan wajar memberikan ruang untuk polis menjalankan siasatan lanjut.

"Tak ada sebab untuk anak guam saya meletakkan jawatan, seolah perkara ini sudah berlaku. Kami juga akan ambil tindakan (terhadap Ibrahim), namun biarlah ia selesai satu persatu.

"Mohd Na'im (berpegang kepada prinsip) berani kerana benar, dan biar laluan diberi kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan" katanya.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam memuat naik video di media sosial mendakwa Mohd Na'im terbabit dalam kes gangguan seksual membabitkan seorang wanita.

Berita Harian X