Sabtu, 15 Januari 2022 | 10:02pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

25 individu hadir upacara agama dijangkiti COVID-19

KOTA KINABALU: Seramai 25 orang individu menghadiri majlis keagamaan di sini mencetuskan kluster baharu COVID-19 di Sabah iaitu Kluster Kayul.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster terbabit dikesan di daerah Kuala Penyu.

"Kes indeks adalah lelaki tempatan berusia 62 tahun disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK Antigen pada 11 Januari selepas bergejala demam dan batuk sejak 5 Januari lepas.

"Hasil penelitian, kes indeks pernah mengadakan majlis keagamaan di kediamannya, Kampung Kayul dan dihadiri ahli keluarga dari Kampung Kebunau dan Kampung Gerowot selain penduduk kampung kes indeks.

"Susulan saringan kontak rapat, terdapat pertambahan kes terdiri daripada kontak serumah dan kontak sosial yang menghadiri majlis keagamaan itu.

"Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 25 kes termasuk empat kes baharu yang dilaporkan hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini sebanyak 265 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 244,004 kes.

"Tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Ranau, Tawau dan Kota Belud," katanya.

Berita Harian X