BUTTERWORTH: Sebuah kilang pembuatan fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai, di sini dikompaun RM32,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kompaun itu dikeluarkan selepas pemeriksaan di premis itu semalam.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, pegawai JAS telah mengesan kegiatan premis itu yang membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan.
"Ia adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang mana kompaun RM32,000 dikeluarkan.
"Pada masa sama, arahan penahahan operasi kelengkapan premis turut diambil bagi menghentikan pencemaran perairan daratan daripada berterusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pihak premis juga diarah untuk mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan.