Sabtu, 15 Januari 2022 | 8:36pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dari DAP, Terence Naidu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dari DAP, Terence Naidu

'Saya dihidangkan minuman yang aneh'

TELUK INTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa dirinya tidak bersalah berhubung penahanannya dalam serbuan polis di sebuah restoran di Perai, Pulau Pinang, Khamis lalu.

Beliau mendakwa dirinya terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan sudah membuat laporan polis sebaik saja dibebaskan semalam serta turut menamakan saksi kejadian berkenaan.

Menurutnya, saksi terbabit juga sudah memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang dilihatnya.

"Berikutan dengan ini saya memohon pihak polis untuk menyiasat perkara berkenaan dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada polis dan membuat kesimpulan sendiri.

"Bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah. Pun begitu, ramai yang sudah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam kenyataan beramarannya kepada polis, Terence menyatakan dirinya diundang bertemu rakan untuk perjumpaan dan makan Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang.

Apabila tiba di Perai, beliau mendakwa dibawa ke lokasi di mana dia akan kemudiannya ditahan.

"Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk. Saya tidak mengambil sebarang bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.

"Saya dihidangkan minuman yang 'aneh'. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit. Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya," katanya.

Menurutnya, selepas begitu lama terbabit dalam politik, dan selepas dua penggal dilantik sebagai ADUN, dia amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat, yang salah satunya untuk mematuhi undang-undang.

Katanya, keadilan bukan saja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana adalah pendiriannya selama ini.

"Seperti mana yang dilaporkan media, sayalah ADUN yang baru-baru ini ditahan polis di Perai. Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden terbaru ini, di mana saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

"Tiada apa yang berubah, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya," katanya.

Berita Harian X