Sabtu, 15 Januari 2022 | 5:31pm
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Ketua Pengarah JKSM dapatkan nasihat peguam isu gesaan direhatkan

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan dalam proses mendapatkan nasihat peguam berhubung gesaan supaya beliau direhatkan sehingga siasatan selesai.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, terdapat dua kenyataan bercanggah yang dikeluarkan Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PPSM) semalam.

"Saya akan minta nasihat peguam-peguam saya dahulu," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Presiden PPSM, Ibrahim Deris mencadangkan Mohd Na'im direhatkan bagi memudahkan siasatan dan bagi memelihara imej institusi Kehakiman Syariah.

Mohd Na'ím turut mempersoalkan pendekatan berbeza dicadangkan Ibrahim, berikutan isu hampir sama pernah terjadi kepada mantan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan pada 2017.

"Boleh tanya Presiden (PPSM) kenapa dia ambil pendekatan berbeza dahulu bila babitkan sahabat baik beliau (Abdul Walid) ketika itu," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PPSM, Muhammad Yusro Borhan Nordin menafikan kenyataan akhbar dikeluarkan Presiden persatuan itu dibuat secara kolektif, kerana ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

Muhammad Yusro berkata, pegawai syariah di seluruh negara memberikan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap apa-apa tuduhan berkaitan.

Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, memuat naik video , mendakwa Mohd Naím terbabit dalam kes gangguan seksual membabitkan seorang wanita.

Berita Harian X