Sabtu, 15 Januari 2022 | 5:04pm
Tanpa jawatan, saya tetap istiqamah buat kerja untuk parti - Mohd Khairuddin. FOTO FB
Tanpa jawatan, saya tetap istiqamah buat kerja untuk parti - Mohd Khairuddin. FOTO FB

Istiqamah kerja untuk parti

KUALA TERENGGANU: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan terus beristiqamah melaksanakan tugasan parti lain walaupun digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Katanya, selepas ini beliau akan menumpukan komitmennya membantu parti menerusi Majlis Syura Ulamak PAS.

"Saya akan terus istiqamah melaksanakan tugas parti yang lain walaupun tanpa memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS pusat.

"Saya akan menumpukan tugas dalam Majlis Syura Ulama selepas ini," katanya kepada BH, hari ini.

Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus digugurkan daripada jawatannya itu selepas dilantik pada November lalu.

Ketika pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat pada muktamar PAS ke-67, November tahun lalu, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, antara tiga pemimpin tertinggi parti dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2021-2023.

Dua lagi yang dipilih semula menduduki Jawatankuasa PAS Pusat selepas tewas pada pemilihan parti adalah Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media semalam mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin pada mesyuarat PAS di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang enggan mengulas lanjut punca Mohd Khairuddin digugurkan.

Berita Harian X