Sabtu, 15 Januari 2022 | 2:21pm

Kertas siasatan kes ADUN positif dadah diserah minggu depan

bhnews@bh.com.my

BUKIT MERTAJAM: Polis akan menyerahkan kertas siasatan berhubung seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak yang didapati positif dadah kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan daripada pakar patologi bagi tindakan selanjutnya.

"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan dan laporan patalogi diperoleh.

"Kita jangkakan kertas siasatan ini akan siap dan diserahkan pada minggu hadapan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, ADUN lelaki berusia 54 tahun itu yang direman sehari untuk siasatan sudah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Selain itu, dua anggota polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan dalam serbuan berkenaan juga sudah dibebaskan.

Mustafa Kamal berkata, semua 36 individu yang ditahan dalam serbuan itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Semalam, media melaporkan seorang ADUN dari Perak ditahan polis selepas ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah.

Penahanan ADUN itu dibuat di sebuah pusat hiburan di Perai di sini oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

Dalam serbuan itu, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes dadah, manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

Berita Harian X