Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:24am
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu

DAP minta Terence Naidu kemuka laporan bertulis

IPOH: DAP Perak meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu memberi laporan bertulis berhubung penahanannya dalam serbuan polis di sebuah restoran di Perai, Pulau Pinang, Khamis lalu.

Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming, berkata laporan lengkap itu diperlukan supaya pimpinan parti baik di peringkat negeri mahupun Pusat dimaklumkan mengenai situasi sebenar yang berlaku.

Beliau juga berkata, pihaknya sudah menghubungi Terence Naidu yang mengesahkan bahawa dia ditahan, Khamis lalu.

"Beliau sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kita juga sudah meminta beliau mengemukakan laporan bertulis berhubung kejadian itu kepada parti," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kor Ming berkata, DAP memberi jaminan kepada orang ramai bahawa parti itu memandang serius kelakuan dan integriti setiap wakil rakyatnya.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa DAP memandang serius kelakuan, watak dan integriti wakil rakyatnya.

"Mereka harus menjadi contoh teladan sebagai orang yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin mereka," katanya.

Semalam media melaporkan, seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Wakil rakyat berusia 50-an itu ditahan di sebuah restoran yang dahulunya adalah kelab malam di Perai, Pulau Pinang pada jam 9 malam Khamis lalu.

Berita Harian X