Jumaat, 14 Januari 2022 | 10:46pm
- Hiasan
- Hiasan

Pulau Jawa digegar gempa 6.7 magnitud

JAKARTA: Gempa bumi dengan magnitud 6.7 menggegarkan Pulau Jawa, Indonesia pada jam 4:05 petang (Waktu Indonesia Barat), hari ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Badan Meteorologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia berkata, gempa itu berlaku 52 kilometer (km) dari barat daya Sumatera Utara-Banten dan 197 km barat daya Jakarta.

Gegaran itu dilaporkan pada kedalaman 10 kilometer di dasar laut.

Pusat gempa ditentukan berada pada koordinat 7.01 darjah lintang selatan dan 105.26 darjah bujur timur.

Gegaran dirasai di Banten, Jakarta, Jawa Barat dan Lampung, hujung selatan Sumatera, menyebabkan ramai orang meninggalkan rumah dan bangunan dalam keadaan panik.

Seorang kerani pentadbiran, Herning Rini ketika gempa itu berlaku sedang bekerja di rumah di Kota Depok, Jawa Barat.

"Saya menutup suis komputer peribadi dan suis utama, berlari ke tempat terbuka, jauh dari rumah dan cuba bertenang," katanya yang terkejut dengan gegaran yang dirasainya itu.

Beberapa jam kemudian, BMKG menurunkan magnitud gempa kepada 6.6. Ia juga menghasilkan beberapa siri gegaran susulan pada magnitud 3.7 dan 3.5.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) berkata tiada laporan mengenai kehilangan nyawa.

Penilaian masih di peringkat awal tetapi beberapa rumah rosak di Pandeglang, Banten, kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari. – BERNAMA

Berita Harian X