Jumaat, 14 Januari 2022 | 9:06pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Perkasa Parlimen untuk selia pelantikan ketua agensi

KUALA LUMPUR: Peranan Parlimen perlu diperkasa bagi membolehkan ia menyelia pelantikan ketua agensi dan entiti kerajaan khususnya berkaitan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelantikan melalui Parlimen disifatkan lebih baik walaupun terdapat desakan pelbagai pihak supaya satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyelia pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Pada masa ini pelantikan ke jawatan sedemikian dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan.

"SPRM pula mempunyai lima jawatankuasa pengawasan, tiga ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2009, dua secara pentadbiran. Persoalannya di sini, patutkah kita menubuhkan jawatankuasa lain?

"Mungkin perkara yang diperlukan di sini ialah memperkasakan peranan Parlimen untuk menyelia pelantikan ketua agensi khususnya agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Pelantikan semasa dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan," katanya yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia) melalui Twitter.

Beliau mengulas cadangan pembentukan jawatankuasa bagi melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM susulan Tan Sri Azam Baki kini terpalit dengan isu pemilikan saham.

Berdasarkan Akta SPRM 2009, Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Akta itu tidak mewajibkan pengawasan Parlimen dalam proses pemilihan pemegang jawatan berkenaan.

Baru-baru ini, Azalina mempersoalkan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu membuat semakan latar belakang Azam sebelum beliau dilantik memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Muhyiddin dalam reaksinya, menafikan beliau memilih Azam untuk dilantik, sebaliknya menjelaskan Ketua Setiausaha Negara yang mencadangkan pelantikan itu dan ia dibuat selepas diperkenankan Agong.

Beliau juga menjelaskan, pelantikan Azam melalui prosedur yang ditetapkan untuk mana-mana jawatan dalam kerajaan.

Berita Harian X