Jumaat, 14 Januari 2022 | 7:02pm
Gambar hiasan. Penggunaan media sosial yang meluas menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk.
Gambar hiasan. Penggunaan media sosial yang meluas menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk.

Media sosial galakkan buli siber, perbuatan buruk

KUALA LUMPUR: Penggunaan media sosial yang meluas menjadikannya platform yang menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk, bukan sahaja dalam kalangan belia, malah orang dewasa.

Penyelidik mengenai buli siber belia, Jessie Yong, berkata laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi tahun 2020 Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.

Beliau berkata, laporan itu menunjukkan, buli siber kini menjadi masalah yang semakin ketara di negara ini.

perbuatan itu mungkin berpunca daripada rasa tidak gembira si pembuli akibat keperluan asasnya tidak dipenuhi.

"Menurut Teori Pilihan Glasser, keperluan itu berkisar kepada aspek kelangsungan hidup, isu kepunyaan (untuk menyayangi, disayangi dan harga diri), kuasa, kebebasan dan keseronokan," katanya.

Teori Pilihan yang dibangunkan oleh pakar psikiatri Amerika Syarikat, William Glasser itu menyatakan, setiap manusia mempunyai lima keperluan asas yang menggerakkan tingkah laku atau pilihan mereka.

"Apabila satu atau lebih keperluan asas ini tidak dipenuhi, mereka mungkin menggunakan buli siber sebagai platform bagi memuaskan keperluan itu. Itu sebabnya kes buli siber tidak hanya dilakukan oleh belia sahaja, tetapi turut membabitkan orang dewasa," katanya, yang juga pensyarah sambilan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian yang tinggi.

"Ini disebabkan oleh kekurangan kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian daripada orang asing," katanya dalam webinar TalkSpace, yang membincangkan isu buli siber dalam kalangan belia.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai rasa harga diri yang rendah, rasa kurang diterima secara sosial dan rasa kurang popular atau kurang disukai, juga mempunyai kecenderungan untuk terbabit dalam buli siber, berikutan kajian menunjukkan pembuli siber selalunya adalah individu yang tidak pandai bersosial.

Sementara itu, pengasas Projek #Cybercancelled dan bekas Miss Petite Universe International Semenanjung (MPUIS) 2020, Narvinni Jayakumar, berkongsi pengalamannya berhadapan dengan pelbagai bentuk buli siber sejak berusia 16 tahun.

Katanya, beliau melalui pengalaman dibuli secara lisan, secara penyamaran serta secara menghendap siber (cyber stalking) dan kini, beliau berhasrat untuk membantu mereka yang mengalami situasi sepertinya.

Webinar itu dianjurkan buat julung kalinya oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Persuasif dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia dan dihadiri lebih 400 orang.

Kumpulan pelajar itu turut melancarkan kempen NETHICS bagi tujuan memupuk etika media sosial yang baik dan membendung gangguan siber.

Pengarah projek, Larissa Lorelle Christian, berkata kempen itu akan memberi peluang kepada belia untuk menangani isu buli siber dan mempelajari etika berkomunikasi dalam talian. - BERNAMA

Berita Harian X