Jumaat, 14 Januari 2022 | 6:50pm
Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun Tuan Mat.

'Boleh canang satu dunia tapi keputusan berdasar bukti dalam mahkamah'

PUTRAJAYA: Individu yang sedang menghadapi perbicaraan kes dan peguam mereka, boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika mengeluarkan kenyataan melampau mengenai prosiding yang masih berlangsung," demikian ditegaskan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat

Tengku Maimun berkata, semua peguam terikat dengan kod etika mengikut Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 dan sebarang tindakan adalah tertakluk kepada akta berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu mengenai tindakan beberapa individu berprofil tinggi dan peguam mereka yang sering membuat hantaran (posting) di media sosial dan sidang akhbar mengenai kes masing-masing yang sedang berlangsung.

Ketika diminta mengulas mengenai mengenai tindakan netizen yang mengkritik keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata, semua orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing.

"Polisi kami ialah mereka (orang awam) berhak untuk memberikan pendapat masing-masing jadi mereka boleh menyuarakannya tetapi bagi kami (badan kehakiman), kami akan menjalankan tugas mengikut undang-undang.

"Bagi tertuduh pula, mereka boleh katakan apa sahaja mengenai kes mereka dan beritahu satu dunia versi mereka tetapi bagi kami ia tidak penting kerana apa yang penting ialah bukti yang dikemukakan di mahkamah dan itu menjadi asas dalam membuat keputusan.

"Bagaimanapun kami tidak akan memberikan sebarang maklum balas terhadap apa yang dikatakan mengenai kami atau keputusan yang kami buat di media sosial kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, apa yang kami katakan tidak akan mengubah apa-apa.

"Jadi jelas, kami tidak akan membuat sebarang komen mengenai apa yang orang perkatakan mengenai kami tidak kira di media sosial atau di mana sahaja," katanya pada sidang media sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di sini hari ini.

Terdahulu Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dalam ucapannya, berkata kerajaan meluluskan geran RM7 juta untuk Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebagai usaha memastikan mereka yang memerlukan bantuan perundangan mendapat perhatian sewajarnya.

Idrus berkata, geran itu adalah bagi membantu YBGK menampung perbelanjaan mereka yang semakin meningkat dan sebagai tanda komitmen serta kesediaan berterusan kerajaan dalam memastikan keadilan boleh diakses oleh semua pihak terutama bagi mereka yang memerlukan

Beliau berkata, sejak ditubuhkan, sebanyak RM58.08 juta sudah disalurkan kepada badan itu.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas, dalam ucapannya, berkata Pusat Mediasi COVID-19 ditubuhkan pada November tahun lalu susulan perjanjian persefahaman di antara badan itu dengan kerajaan.

Kalidas berkata, penubuhan pusat berkenaan bagi membolehkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat mediasi bagi pertikaian membabitkan pelaksanaan tanggungjawab berdasarkan kontrak berikutan perintah kawalan, yang dikeluarkan sewaktu pandemik.

"Berbanding beban kerja, kepakaran dan perkhidmatan yang diberikan, peguam YBGK menerima bayaran yang sedikit berbanding di negara lain. Oleh itu, dana yang mencukupi diperlukan bagi membolehkan YBGK terus memberikan keadilan kepada semua pihak," katanya.

Berita Harian X