Jumaat, 14 Januari 2022 | 5:59pm
Remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini. FOTO BERNAMA
Remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini. FOTO BERNAMA

Nak beli dadah, bukan beli ubat datuk

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan remaja lelaki yang mencuri tabung masjid kononnya mendakwa hendak membeli ubat untuk datuknya adalah tidak benar, sebaliknya suspek hendak mendapatkan bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, berkata remaja berusia 19 tahun yang tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' kerana cuba mencuri duit tabung itu dipercayai terbabit kegiatan dadah sejak setahun lalu.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk beli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda berjumlah RM4,000 terhadap remaja itu.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, Sabtu lalu.

Sebelum itu, peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia sudah insaf.

Anak guamnya dikatakan sudah memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid, manakala alasannya mencuri kerana memerlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.

Berita Harian X