Jumaat, 14 Januari 2022 | 5:27pm
Hiasan. FOTO NSTP
Hiasan. FOTO NSTP

Melaka buka pusat kuarantin jemaah pulang umrah

JASIN: Kerajaan Melaka akan membuka satu pusat kuarantin khas untuk jemaah umrah baru pulang ke tanah air, minggu depan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pusat kuarantin kedua selepas Kuala Lumpur itu dibuka di sebuah resort di Alor Gajah, dalam usaha kerajaan membendung penularan varian Omicron.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri masih menunggu keputusan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung perkara itu.

"Jemaah umrah baru pulang ke tanah air wajib menjalani kuarantin bagi memastikan mereka bebas daripada wabak varian Omicron.

"Namun jika seseorang jemaah itu bergejala atau positif varian berkenaan, kita akan menghantarnya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya kepada BH, hari ini.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 10 kes jangkitan varian Omricon dengan semuanya membabitkan jemaah yang mengerjakan umrah tetapi sudah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, sebanyak 245 kes baharu COVID-19 direkodkan di Melaka dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 78,197 kes direkodkan setakat ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 154 kes sembuh dicatatkan, sekali gus meningkat kepada 75,917 kes sembuh.

"Terdapat 1,319 kes aktif di negeri ini yang sedang menerima rawatan, termasuk lima kes terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka manakala dua lagi perlu bergantung dengan mesin ventilator sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X