Jumaat, 14 Januari 2022 | 3:52pm

TNB belanja RM40 juta sumbangan rumah Baiti Jannati

BATU GAJAH: Sebanyak 879 buah rumah sudah di baik pulih dan bina baharu melalui projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, jumlah itu membabitkan peruntukan sebanyak hampir RM40 juta.

"Daripada jumlah berkenaan sebanyak 128 rumah dibaik pulih dan dibina dengan peruntukan sebanyak RM5.8 juta di Perak.

"Kita berharap program ini dapat diteruskan, dengan kemajuan yang diperolehi TNB frekuensinya akan dikongsikan bersama rakyat melalui program sebegini," katanya pada sidang media di sini.

Beliau hadir pada penyerahan rumah bantuan disampaikan oleh EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun kepada Norismah Ismail, 49, balu kepada Norazam Abdul Rahman 49, penerima bantuan rumah program Baiti Jannati TNB di Kampung Tersusun Sungai Terao di sini hari ini.

Baharin berkata, program Baiti Jannati masih berjalan dalam tempoh pandemik sebelum ini namun berhadapan dengan cabaran dari segi pembinaan fizikal.

"Namun, kita cuba siapkan rumah berkenaan sepertimana yang kita janjikan kepada penerima bantuan.

"Kita pada masa sama berterima kasih kepada kerjasama kerajaan negeri kerana memudahkan carakan proses penyampaian bantuan kepada pihak berkenaan yang memerlukan bantuan," katanya.

Sementara itu, Norismah berkata arwah suaminya seronok sangat apabila tahu rumah baru dibina.

"Cuma dia tak sempat merasa duduk sebelum pergi (meninggal dunia," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, mereka sekeluarga terutama arwah suami memang sudah lama tertunggu-tunggu berikutan rumah pusaka yang didiami sudah hampir roboh dimakan anak-anai.

"Alhamdulillah kami berasa syukur sangat-sangat dapat rumah ini kerana rumah lama juga yang dah hampir nak runtuh.

"Suami meninggal dunia kerana strok Oktober lalu dan dia memang sangat berbesar hati dan seronok berkenaan pembinaan rumah baru ini," katanya.

Menurutnya, mereka kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen ilat suami sebanyak RM1,000 sebulan.

"Saya pula tidak bekerja kerana menjaga suami sakit ketika itu, jadi bergantung kepada pencen ilat suami dan apabila dia meninggal dunia saya pula menyambung," katanya.

EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyampaikan replika kunci kepada Norismah Ismail, penerima bantuan rumah program Baiti Jannati TNB di Kampung Tersusun Sungai Terao - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyampaikan replika kunci kepada Norismah Ismail, penerima bantuan rumah program Baiti Jannati TNB di Kampung Tersusun Sungai Terao - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X