JOHOR BAHRU: Bekalan minyak masak paket sekilogram masih sukar didapati di sekitar bandar raya ini, sekali gus meresahkan pengguna.
Tinjauan di beberapa kedai runcit di Tampoi dan Perling, di sini, mendapati peruncit mengakui sudah tidak mendapat bekalan minyak masak paket bersubsidi RM2.50 itu, sejak hampir sebulan lalu.
Bagaimanapun, masih ada rangkaian pasar raya besar menjual minyak masak paket plastik namun stoknya terhad malah setiap pengguna hanya boleh membeli dua paket sahaja.
Peruncit, Ikmal Mohd Reza, 23, berkata bekalan minyak masak paket sekilogram mula menghadapi gangguan sejak November lalu.
Katanya, pada mulanya bekalan minyak masak paket itu tiada masalah namun pembekal kemudian memaklumkan tidak dapat memenuhi pesanan yang dibuat peruncit berikutan bekalan yang mereka dakwa tidak mencukupi.
"Sebenarnya sejak November lalu peruncit mula dimaklumkan bekalan tidak cukup namun bulan lalu paling teruk kerana pesanan yang dibuat tidak pun tidak dihantar pembekal.
"Pengguna pula memarahi dan menuduh peniaga runcit menyembunyikan minyak masak paket kerana mahu menjualnya pada harga lebih mahal, sedangkan kami tidak menerima stok minyak masak daripada pembekal.
Isnin lalu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Hairul Anuar Bohro, dilaporkan berkata penguat kuasa akan menjalankan siasatan terhadap aduan pengguna berhubung minyak masak paket yang didakwa kehabisan stok di pasaran.
Hairul Anuar dilaporkan berkata, seharusnya bekalan minyak masak paket bersubsidi RM2.50 sekilogram mencukupi di negeri ini apatah lagi KPDNHEP Johor ada membuat semakan dan tinjauan bekalan minyak masak dan mendapati ia cukup.
Peruncit, Siti Nabiha Zunaidi, 24, berkata bekalan minyak masak paket yang sentiasa bermasalah menyebabkan beliau serik menjualnya di pasaran.
Katanya, ia berikutan stoknya yang semakin kerap tiada, menyebabkan pelanggan sering memarahi peruncit.
"Sejak November lalu stok minyak masak paket sudah bermasalah dengan pembekal memaklumkan kekurangan bekalan.
"Peruncit sendiri menerima harga RM2.44 bagi setiap satu kilogram minyak paket daripada pembekal dan perlu menjual pada harga RM2.50, untung pun tak sampai 10 sen, setiap beg.
"Daripada sering dimarahi pengguna kerana tiada stok, saya memutuskan tidak menjual lagi minyak masak paket apatah lagi bekalannya sentiasa bermasalah," katanya.