Jumaat, 14 Januari 2022 | 2:39pm
Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu. - Foto fail NSTP
Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu. - Foto fail NSTP

Mohd Khairuddin digugurkan

MARANG: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS, termasuk diberhenti atau ditukarkan.

Katanya, pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu diputuskan pada mesyuarat PAS yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, kelmarin.

"Pengguguran itu mestilah mempunyai alasan kerana dalam parti kita ada jawatankuasa disiplin, siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat," katanya pada media ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut punca utama Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus disingkirkan.

Katanya, urusan parti dikendalikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada muktamar PAS ke-67 November tahun lalu, Mohd Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi parti yang dilantik semula menduduki ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 selepas tewas pada pemilihan.

Dua lagi yang dipilih semula menduduki jawatankuasa PAS Pusat selepas tewas pada pemilihan adalah Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Abdul Hadi menegaskan, sesiapa sahaja ahli parti termasuk pemimpin yang melanggar disiplin parti akan ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat.

Sementara itu, Mohd Khairuddin dalam hantaran di laman Facebook malam tadi turut memberi bayangan mengenai situasi akan menimpanya.

Katanya, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam masyarakat kerana manusia mempunyai akal dan ilmu berlainan yang menghasilkan sudut pandangan berbeza.

"Tinggal lagi adalah adab dalam perbezaan pendapat dan bagaimana menguruskan perbezaan yang boleh menyuburkan lagi sesuatu perbincangan," katanya.

Berita Harian X