Jumaat, 14 Januari 2022 | 2:32pm
Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun Tuan Mat.

Kesalahan seksual kanak-kanak naik mendadak

KUALA LUMPUR: Kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan peningkatan mendadak, iaitu hampir 42 peratus di antara tahun 2020 dan 2021.

Justeru, Badan Kehakiman akan mengadakan dialog dengan Badan Eksekutif untuk mewujudkan lebih banyak mahkamah jenayah seksual kanak-kanak untuk menangani kes berkenaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata ia akan membabitkan penambahan bilangan jawatan yang diperuntukkan kepada Badan Kehakiman untuk mendengar kes sedemikian.

"Kami berharap langkah ini membantu mengurangkan bilangan (jumlah kes). Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah masalah serius," katanya dalam ucapan pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Difahamkan, mahkamah jenayah seksual kanak-kanak akan diwujudkan di Johor Bharu dan Petaling Jaya sebagai tambahan kepada mahkamah sedia ada di Putrajaya dan Kuching.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, kes jenayah jalanan menunjukkan penurunan yang berterusan antara tempoh 2017 sehingga 2021.

Katanya, tahun lalu mencatatkan jumlah terendah dengan penurunan sebanyak 57.5 peratus dalam bilangan pendaftaran kes.

"Mungkin penguatkuasaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan yang menyebabkan kurangnya kesalahan jenayah sedemikian yang mungkin menjelaskan sebab penurunan ini," katanya.

Bagi kes pemerdagangan manusia pula, Tengku Maimun berkata bilangan kes tidak menunjukkan perbezaan ketara bagi tempoh empat tahun terakhir walaupun bilangan pendaftaran menunjukkan trend penurunan.

Beliau berkata, pandemik banyak mengurangkan pergerakan masuk ke dalam dan luar negara dan kemungkinan penurunan jumlah kes daripada 402 kes, pada 2020 kepada 333 kes pada 2021 adalah disebabkan oleh faktor itu.

Katanya, bagaimanapun statistik menunjukkan terdapat juga sedikit penurunan kes antara 2018 dan 2019 sebelum wabak.

"Kami mengambil berat mengenai penurunan dalam ranking antarabangsa, bagaimanapun adalah difahami bahawa dalam sistem adversarial seperti kita, mahkamah tidak berupaya untuk mengambil langkah aktif bagi menghapuskan pemerdagangan manusia.

"Walaupun kes sedemikian dibawa di hadapan mahkamah, hakim mesti memutuskannya mengikut undang-undang, fakta dan bukti," katanya.

Berita Harian X