Jumaat, 14 Januari 2022 | 1:24pm
Program pemutihan lesen kenderaan pelancongan, mulai esok hingga 28 Februari ini. - Foto hiasan
Program pemutihan lesen kenderaan pelancongan, mulai esok hingga 28 Februari ini. - Foto hiasan

Program pemutihan kenderaan pelancong mulai esok

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melaksanakan program pemutihan lesen kenderaan pelancongan, mulai esok hingga 28 Februari ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, program itu terbuka kepada pengusaha pelancongan, pemandu pelancong serta agensi pelancongan mempunyai operasi kenderaan pelancongan (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) yang layak.

Lesen tambahan dan permit kenderaan pengusaha pelancongan serta pemandu pelancong yang tamat tempoh sah laku bermula 1 Januari 2020 hingga kini akan dipertimbangkan kelulusan pembaharuan.

"Permohonan pembaharuan lesen adalah tertakluk kepada garis panduan pembaharuan lesen sedia ada. Lesen pengusaha pelancongan, pemandu pelancong dan permit kenderaan pelancongan tamat tempoh sebelum 1 Januari 2020 tidak layak memperbaharui lesen dalam tempoh pemutihan.

"Ia akan dikeluarkan daripada senarai dan rekod MOTAC serta dimuat naik dalam lawan sesawang rasmi MOTAC untuk makluman semua pihak.

"Program ini membabitkan Agensi Pelancongan (TOBTAB), Agensi Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Institut Latihan Pelancongan (ILP), Pemandu Pelancong (TG) serta Permit Bas Persiaran dan Kereta Sewa Pandu (BPKSP) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

Menurut kenyataan itu, persetujuan untuk melaksanakan program pemutihan lesen menunjukkan MOTAC sentiasa prihatin dengan cabaran besar dan berterusan dihadapi penggiat industri pelancongan susulan impak pandemik COVID-19.

"Dengan pelaksanaan pelanjutan inisiatif ini, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong layak mengambil peluang untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh ditetapkan.

"Bagi maklumat lanjut sila layari laman sesawang MOTAC atau menghubungi pejabat MOTAC negeri berdekatan," katanya.

Berita Harian X