Jumaat, 14 Januari 2022 | 12:25pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

'Syor Ketua Pengarah JKSM direhatkan hingga siasatan selesai'

KUALA LUMPUR: Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) mencadangkan supaya Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, direhatkan sementara sehingga siasatan selesai.

Presiden PPSM, Ibrahim Deris, berkata ia susulan pendedahan oleh seorang bekas pemimpin UMNO di laman Facebook pada 10 dan 13 Januari.

"Justeru bagi mengelakkan hal tersebut terus memburukkan imej Institusi Kehakiman Syariah adalah wajar pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan sewajarnya supaya beliau direhatkan sementara sehingga siasatan ke atasnya sempurna berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 .

"Hal ini juga akan memudahkan pihak berkuasa melaksanakan siasatan dan kebenaran akan segera terserlah.

"PPSM mendokong prinsip berani kerana benar dan yang salah tetap perlu menerima penghakiman yang seadilnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, PPSM memandang serius pendedahan pada 10 Januari lalu dan beberapa laporan media berkaitan tuduhan jenayah moral terhadap Ketua Pengarah JKSM.

Oleh itu katanya, PPSM meminta ahli dan orang ramai supaya bertenang dan sabar menunggu siasatan serta tindakan pihak berkuasa yang sedang bertungkus lumus menangani isu ini.

"PPSM sedar ramai ahli yang berasa terkejut apabila mendengar pendedahan isu ini kerana jika tuduhan itu benar ia amat bertentangan dengan Adabul Qhadi (Etika Hakim) yang wajib diamal dan dipertahan semua hakim syarie.

"PPSM menerima maklum balas bahawa ahli PPSM juga sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan KP JKSM apabila status moral peribadinya menjadi bahan pertikaian di khalayak ramai yang boleh menyebabkan Institusi Kehakiman Syariah dipandang rendah oleh masyarakat," katanya.

Ibrahim berkata, PPSM juga amat terkejut dengan pendedahan video terbaru semalam apabila laporan polis pengadu yang menyatakan seperti berikut.

"Dia (KP JKSM) juga telah memaklumkan bahawa dia boleh mengatur hakim khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur bagi memenangkan sesuatu kes tuntutan seseorang"

"Kenyataan ini amat berbahaya bagi seorang ketua tertinggi Institusi Kehakiman dan merupakan penyalahgunaan kuasa serta boleh menyebabkan keadilan keputusan kes mahkamah diragui," katanya.

Berita Harian X