Khamis, 13 Januari 2022 | 7:51pm
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membuat lawatan kerja ke Markas Kelima Infantri, Kem Lok Kawi. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membuat lawatan kerja ke Markas Kelima Infantri, Kem Lok Kawi. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

MINDEF bantu Sabah hadapi gelombang ketiga banjir

PAPAR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan akan terus membantu Sabah menghadapi gelombang banjir menerusi Ops Murni Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap siaga bagi membantu kerajaan negeri itu menghadapi banjir.

Beliau berkata, keadaan banjir di negeri itu kini hampir pulih sepenuhnya, namun ATM sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan negeri itu dan agensi berkaitan bagi menghadapi bencana.

"Saya sudah suarakan jaminan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, ATM sentiasa bersedia untuk meneruskan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah serta

setiap agensi berkepentingan menerusi Ops Murni.

"Sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) diatur gerak.

"Mereka bukan sahaja membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama pusat pemindahan sementara (PPS), malah menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Markas Divisyen Kelima Infrati Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Hajiji dan Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, 385 anggota bersama 50 aset ATM daripada Briged Kelima Infantri Malaysia Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia Pantai Timur Sabah, bersiap siaga menghadapi banjir di negeri itu.

Katanya, fokus ATM ketika ini adalah melaksanakan kerja pembersihan, kerja baik pulih dan bersedia jika berlaku gelombang ketiga banjir.

Sementara itu, ditanya mengenai pemalsuan sijil vaksinasi MySejahtera, beliau berkata, kerajaan tidak berkompromi terhadap perkara itu.

"Ia satu perkara yang tidak boleh kita maafkan. Saya gembira pihak berkuasa sudah mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.

"Namun, siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan musibah melanda dunia adalah sesuatu yang perlu ditangani segera," katanya.

Berita Harian X