Khamis, 13 Januari 2022 | 7:38pm
Anak penyu agar ditemukan mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga, Maranghari ini. - Foto BERNAMA
Anak penyu agar ditemukan mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga, Maranghari ini. - Foto BERNAMA

Anak penyu agar ditemukan mati termakan plastik

KUALA TERENGGANU: Seekor anak penyu agar ditemukan mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga dekat Marang pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, berkata penemuan bangkai penyu itu adalah kes keempat membabitkan kematian haiwan berkenaan sejak awal bulan ini.

"Tiga kematian (sebelum ini) membabitkan penyu spesies agar betina dewasa yang disebabkan lemas terperangkap dalam pukat.

"Kes pertama ditemukan pada 3 Januari lalu di Pantai Penunjuk dekat Kijal di Kemaman diikuti kes kedua dan ketiga masing-masing di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus dan Pelabuhan Chendering di sini semalam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya merekodkan 51 kes kematian penyu sepanjang tahun lepas dan menasihati orang awam supaya segera menghubungi Pejabat Perikanan Daerah terdekat atau talian 03-8888 5019 jika menemukan penyu sama ada dalam keadaan masih hidup atau sudah mati.

Mohd Afendy Abd Aziz, 41, pula berkata beliau ternampak bangkai haiwan itu ketika bersiar-siar di kawasan pantai bersama anaknya.

"Memang saya suka luangkan masa di tepi pantai namun tak sangka pula terjumpa bangkai penyu di sini. Saya perhatikan ada sisa plastik terkeluar daripada mulut penyu itu dan luka di sebelah kanan mungkin kesan cedera akibat terperangkap dalam pukat.

"Saya tak tahu nak maklum kepada siapa tentang penemuan itu jadi saya ambil video dan gambar sebelum muat naik ke Facebook," katanya yang bekerja di syarikat minyak dan gas di sini.

Tidak lama kemudian, beliau dihubungi Jabatan Perikanan yang meminta maklumat terperinci mengenai penyu itu untuk tindakan susulan dan dimaklumkan bahawa videonya sudah tular di media sosial. – BERNAMA

Berita Harian X