Khamis, 13 Januari 2022 | 5:44pm
Anggota bomba memindahkan penduduk Kampung Seduan di Sibu, yang terjejas akibat banjir. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba memindahkan penduduk Kampung Seduan di Sibu, yang terjejas akibat banjir. - Foto ihsan JBPM

44 mangsa banjir Sibu masih di PPS

SIBU: Seramai 44 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Jeriah, di sini, hari ini.

Mereka adalah daripada lima keluarga dari Kampung Seduan Jaya, yang terjejas akibat banjir selepas hujan berterusan sejak kelmarin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, PPS berkenaan dibuka sejak jam 3.14 petang semalam.

Beliau berkata, sehingga petang ini, semua mangsa belum dibenarkan pulang berikutan rumah mereka dinaiki air sehingga paras 0.5 meter, manakala jalan raya pula ditenggelami air setinggi satu meter.

"Pemantauan masih dijalankan berikutan hujan berterusan hingga hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, daripada 44 mangsa yang ditempatkan di PPS itu, dua adalah warga emas iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, 12 lelaki dewasa, 13 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.

"Dua daripada mangsa dihantar ke Hospital Sibu hari ini kerana mengalami masalah kesihatan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sesawangmya hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk atau kategori jingga bagi lapan bahagian di Sarawak hingga Sabtu ini.

Kawasan terbabit ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Mengikut sistem amaran MetMalaysia, cuaca tahap buruk atau kategori jingga merujuk hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada atau kategori kuning di tiga bahagian iaitu Kapit, Bintulu dan Miri, dengan hujan berterusan dijangka berlaku hingga Sabtu.

Tahap waspada atau kategori kuning merujuk kepada hujan lebat yang dijangka berlaku antara satu hingga tiga hari.

Berita Harian X