Khamis, 13 Januari 2022 | 5:13pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kejar masa, upah punca pekerja langgar undang-undang

KUALA LUMPUR: Mengejar masa dan insentif upah adalah antara faktor menyebabkan pemandu dan penunggang melakukan kesalahan jalan raya, termasuk melanggar lampu isyarat.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, dalam operasi khas yang diadakan sepanjang bulan November pada tahun lalu, sebanyak 20,986 saman dikeluarkan kepada pemandu dan penunggang p-hailing.

Beliau berkata, bagi menangani perkara itu, syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing perlu mengadakan perbincangan dengan pekerja mereka.

"Keadaan ini berlaku disebabkan penunggang p-hailing mengejar masa dan insentif upah yang menjadi cabaran dalam pekerjaan mereka.

"Justeru, perlu ada program khas antara syarikat dan penunggang p-hailing bagi membincangkan isu ini.

"Selain itu, polis juga akan berusaha duduk bersama syarikat berkenaan untuk memantau dan melihat apa yang boleh dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) 2022, menerusi talian, hari ini.

Turut menjadi panel adalah Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan; Pengerusi PIAM, Antony Lee dan Timbalan Pengarah MTA, Mohamed Sabri Ramli.

Terdahulu, Lee alam ucapan berkata, kempen dengan tema #steadybrader itu diadakan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, selain memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Katanya, PIAM dan MTA berharap kempen yang akan diadakan sepanjang tahun 2022 itu, dapat mengurangkan kemalangan serta kematian akibat kemalangan dengan terus memberi tumpuan untuk memerangi wabak COVID-19.

"Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara purata 1.25 juta orang mati setiap tahun akibat kemalangan jalan raya. Ia juga menjadi punca utama kematian dalam kalangan belia berusia antara 15 tahun dan 29 tahun.

"Menjelang tahun 2030, WHO meramalkan, kecederaan lalu lintas jalan raya akan meningkat menjadi penyebab kelima kematian selepas penyakit jantung, serebrovaskular, paru-paru kronik dan jangkitan saluran pernafasan, sekali gus menunjukkan ia sesuatu yang serius" katanya.

Berdasarkan statistik polis pula katanya, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 6,167 kes iaitu bersamaan 17 kematian setiap hari sepanjang tahun itu.

Selain itu, katanya, statistik daripada JPJ pula menunjukkan lebih 80 peratus punca utama kemalangan adalah akibat kecuaian.

Berita Harian X