Khamis, 13 Januari 2022 | 4:54pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

KKM, KPDNHEP tetapkan harga maksimum CoronaVac, Covilo

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga borong dan runcit maksimum bagi dua produk vaksin COVID-19 iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.

Harga borong dan runcit maksimum bagi vaksin CoronaVac masing-masing ditetapkan RM62 dan RM77 setiap dos, manakala Covilo masing-masing pada RM49 dan RM61.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan bersama menjelaskan penetapan harga itu dibuat dalam usaha mengelakkan vaksin COVID-19 dijual pada harga terlalu tinggi di pasaran.

Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan perintah yang berkuat kuasa pada 15 Januari ini mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

"Harga runcit maksimum yang ditetapkan tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin COVID-19.

"Penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.

"Senarai dan harga vaksin COVID-19 akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa," menurut kenyataan.

Kenyataan itu menjelaskan setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menawarkan program vaksinasi pemerolehan swasta (private-purchase vaccination) juga diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin COVID-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.

Katanya, ia bagi membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga dan mendapatkan vaksin COVID-19 pada harga yang berpatutan mengikut pilihan pengguna.

Menurut kenyataan itu mana-mana individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi pesalah individu manakala pesalah syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Katanya, kerajaan juga menyediakan medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

Pengguna boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKMhttps://moh.spab.gov.my jika didapati ada individu atau syarikat yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan harga maksimum itu.

Penetapan harga maksimum vaksin COVID-19
Penetapan harga maksimum vaksin COVID-19

Berita Harian X