Khamis, 13 Januari 2022 | 4:33pm

Jajaran ECRL sudah dimuktamad, tiada lagi perubahan

BENTONG: Tiada lagi perubahan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas ini, apabila ia dimuktamadkan sepenuhnya dengan paling akhir membabitkan laluan di Selangor iaitu Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau sudah menandatangani kelulusan penuh Skim Keretapi Jajaran C2 pada petang semalam, selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengemukakan permohonan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL.

"Kelulusan ini membolehkan kerja fizikal di Seksyen C2 dimulakan pada suku pertama tahun ini kerana kita tidak mahu menangguhkan lagi kerja untuk memastikan pembinaan ECRL dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Disember 2026.

"Dokumen (kelulusan penuh Skim Keretapi) adalah dokumen mengikut akta dan kerja seterusnya akan berpandu kepada dokumen ini sehingga selesai. Ini tidak mengira apa juga pilihan raya yang berlaku," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Terowong Genting bagi laluan ECRL di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Pengerusi MRL; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman serta Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak.

Ka Siong berkata demikian ketika ditanya kemungkinan berlaku perubahan jajaran ECRL selepas pilihan raya umum (PRU), seperti yang berlaku selepas PRU ke-14 apabila ia diubah untuk melalui Negeri Sembilan sebelum kembali ke laluan asal apabila berlaku perubahan pentadbiran negara.

Ka Siong (tengah) melawat terowong yang sedang dibina ketika lawatan kerja di Tapak Pembinaan Terowong Genting ECRL hari ini. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Ka Siong (tengah) melawat terowong yang sedang dibina ketika lawatan kerja di Tapak Pembinaan Terowong Genting ECRL hari ini. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Tapak Projek ke pintu masuk terowong dan mesin pengorek terowong bagi projek ECRL di Bentong, Pahang. - Foto NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL
Tapak Projek ke pintu masuk terowong dan mesin pengorek terowong bagi projek ECRL di Bentong, Pahang. - Foto NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL

Beliau berkata, kelulusan penuh Jajaran C2 itu juga, melalui sesi pemeriksaan awam selama tiga bulan bermula September yang mana 12,652 daripada 12,797 responden atau 98.87 peratus menyatakan sokongan, dengan bilangan kecil membantah kerana jajaran itu merentasi rumah atau tanah mereka.

"Kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas bertujuan memastikan pembabitan rakyat dan syarikat tempatan serta syarikat Bumiputera dalam kerja pembinaan ECRL diketuai ketua setiausaha kementeriannya supaya limpahan pelaksanaan projek mega itu dapat dinikmati rakyat tempatan," katanya.

Ditanya jika perjalanan projek ECRL terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini, beliau berkata, kesan banjir tidak begitu signifikan kerana lokasi pembinaan tidak terkesan yang membolehkan MRL dan kontraktor utama, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) menghantar jentera bagi membersihkan kesan banjir sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Mengulas Terowong Genting yang juga terowong rel terpanjang negara, Ka Siong berkata, kerja pengorekan terowong berkembar sepanjang 16.39 kilometer (km) itu bermula Mac ini, sebaik saja kerja pemasangan dua mesin pengorek terowong (TBM) yang direka khas untuk kegunaan batuan keras itu siap, dengan jangkaan kerja lengkap selepas tiga tahun.

(Gambar fail) Tapak Projek ke portal pintu masuk terowong dan Mesin Pengorek Terowong bagi penganjuran projek ECRL ke tapak pembinaan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.
(Gambar fail) Tapak Projek ke portal pintu masuk terowong dan Mesin Pengorek Terowong bagi penganjuran projek ECRL ke tapak pembinaan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.

Beliau berkata, TBM buatan China itu direka khas dan sudah menjalani ujian kilang menyeluruh di situ sebelum sampai ke Malaysia pada Julai lalu menerusi Pelabuhan Klang, Selangor dan akan melalui pemeriksaan serta siri ujian pentauliahan termasuk ujian penerimaan tapak sebelum dibenarkan beroperasi.

"Mesin TBM berteknologi tinggi ini seberat 1,600 tan dan berukuran 266 meter panjang, menjadikannya TBM terbesar untuk kerja pengorekan terowong laluan rel di Malaysia.

"Ia membabitkan tiga tugas utama iaitu menggali terowong, mengangkut sisa ke permukaan dan memasang dinding konkrit," katanya.

Berhubung tahap kemajuan kerja, Ka Siong berkata, setakat Disember lalu, ECRL keseluruhannya sepanjang 665 km mencatatkan tahap kemajuan 26.49 peratus didorong kerja pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu dan Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang.

Sementara itu, Mohd Zuki menerusi ucapannya berkata, Terowong Genting yang merentasi Banjaran Titiwangsa dengan sebahagian besar iaitu 10 km terletak dalam Pahang adalah terowong pertama ECRL dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang digunakan sebelum ini. – BERNAMA

Berita Harian X