Khamis, 13 Januari 2022 | 4:09pm

Ladang babi Melaka diwarta jadi kawasan wabak Demam Babi Afrika

JASIN: Semua 35 ladang ternakan babi sekitar Paya Mengkuang, Masjid Tanah di sini, diwartakan sebagai kawasan wabak berjangkit berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Mingguan EXCO negeri, semalam itu adalah susulan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dalam kalangan haiwan ternakan terbabit, sejak bulan lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata menerusi warta itu, semua ladang ternakan babi di kawasan berkenaan akan dikawal ketat, termasuk urusan berkaitan keluar masuk haiwan terbabit.

"Kita bersetuju mewartakan kawasan ternakan itu dan kawalan ketat akan diambil di kawasan terbabit bagi mengekang wabak ASF terus merebak," katanya selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bemban, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari; Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Hasan Abd Rahman.

Wabak ASF dikesan sejak 24 Disember lalu di tujuh ladang babi di Paya Mengkuang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Ia selepas pihak jabatan berkenaan menerima laporan daripada penternak yang terbabit dan pengesahan sampel diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember lalu.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan memasang siren kecemasan bencana di beberapa kawasan yang berisiko banjir.

Beliau berkata, perkara berkenaan masih di peringkat kajian dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Melaka mempunyai banyak kawasan berisiko bencana banjir, namun kita akan memberikan perhatian khusus di kawasan `hotspot' dan sering dilanda banjir besar seperti bulan lalu.

"Diharap menerusi kaedah itu mampu memberi amaran awal kepada penduduk yang tinggal di kawasan banjir supaya bersedia sebelum kediaman mereka dinaiki air," katanya.

Kandang ternakan babi. - Foto hiasan
Kandang ternakan babi. - Foto hiasan
Berita Harian X