Khamis, 13 Januari 2022 | 2:55pm
Kampung dan taman perumahan sekitar Hulu Langat kini diselubungi debu selepas banjir besar melanda bulan lalu
Kampung dan taman perumahan sekitar Hulu Langat kini diselubungi debu selepas banjir besar melanda bulan lalu

Banjir selesai, debu dan habuk pula ancam penduduk Hulu Langat

HULU LANGAT: Ibarat jatuh ditimpa tangga, demikian nasib malang menimpa mangsa banjir sekitar daerah ini apabila mula berdepan masalah kesihatan, ekoran debu dan habuk tebal menyelubungi kawasan itu selepas banjir kering.

Tinjauan di Kampung Sungai Serai, Batu 18, Sungai Lui dan Taman Sri Nanding, mendapati kebanyakan rumah dan kenderaan terpaksa dibersihkan kali kedua berikutan debu tebal.

Penduduk Kampung Sungai Serai, Mohd Ali Rajak, 56, berkata kediamannya baru sahaja selesai dibersihkan namun perlu dibersihkan lagi.

"Ada juga batuk-batuk akibat debu di kawasan ini, rumah pula terpaksa dibersihkan setiap hari ditambah pula dengan cuaca panas dan kering.

"Kesan ketara di bahagian lantai apabila kita boleh nampak debu melekat dan terpaksa di basuh dan dicuci berulang kali," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nor Asmara Yusof, 68, agak bernasib baik kerana rumahnya berada agak jauh dari jala besar.

"Namun debu dan habuk setiap hari menyelubungi di rumah, hari-hari saya terpaksa sapu, lebih teruk selepas banjir yang melanda.

"Saya bersyukur ada banyak pihak yang membantu selepas kejadian banjir, dapatlah kurangkan beban kami dan keletihan membersihkan rumah," katanya.

Menurutnya, meskipun bersyukur cuaca kini panas, namun harapan disandarkan supaya pihak berwajib dapat menyembur air agar debu dapat dikurangkan di kawasan itu.

Berita Harian X