Khamis, 13 Januari 2022 | 2:22pm
Megat Zulkarnain menyampaikan sumbangan mesin bantuan pernafasan kepada Ainul Nuraisyah di rumahnya di Bandar Mahkota Cheras.
Megat Zulkarnain menyampaikan sumbangan mesin bantuan pernafasan kepada Ainul Nuraisyah di rumahnya di Bandar Mahkota Cheras.

YBR beri sumbangan kepada Ainul Nuraisyah

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menghidap penyakit paru-paru kronik menerima sumbangan mesin bantuan pernafasan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), baru-baru ini.

Ainul Nuraisyah Affendi, yang menghidap penyakit Bronkiolitis Obliterans sejak berusia setahun menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan seumur hidup.

Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu Ainul Nuraisyah selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Malafarizan Mohamad berhubung keperluan mesin bantuan pernafasan untuk anaknya itu.

"Dengan pemberian bantuan alat pernafasan bernilai RM4,200 ini, diharapkan dapat membantu mengurangkan beban ditanggung keluarga Ainul Nuraisyah.

"Melihat keadaan Ainul Nuraisyah, kami percaya dia mempunyai semangat jiwa yang kuat dan pastinya sokongan kedua ibu bapa serta ahli keluarga lain menjaganya dengan baik," katanya selepas menyampaikan bantuan itu di rumah Ainul Nuraisyah di Bandar Mahkota Cheras.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abd Ghani dan Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti dan Penjenamaan Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Megat Zulkarnain berkata, Ainul Nuraisyah menghidap penyakit paru-paru kronik dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang hayatnya.

"Lebih menyayat hati Ainul Nuraisyah tidak dapat menikmati kehidupan sama seperti rakan sebaya dan tidak dibenarkan bermain di luar rumah bersama-sama kanak-kanak lain.

"Bapanya seorang tentera dan ibunya bekerja sendiri turut terkesan dengan kekangan perbelanjaan serta kekurangan pendapatan kesan daripada pandemik COVID-19," katanya.

YBR memperuntukkan hampir RM300,000 bagi pemberian sumbangan membantu golongan kurang bernasib baik dan meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Berita Harian X