Khamis, 13 Januari 2022 | 11:38am

Berdepan 3 tuduhan rasuah, kontraktor mengaku tidak bersalah

IPOH: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan memberi suapan kepada penjawat awam berhubung kerja pembaikan dan penyelenggaraan institusi di bawah naungan kerajaan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Asdi Ali, 42, yang juga pengurus syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Pada 21 Disember lalu, Asdi turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000 berhubung kerja naik taraf, penyelenggaraan dan membaik pulih di JKR, Hulu Selangor, pada Oktober 2020.

Lelaki itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad lalu atas satu lagi dakwaan cuba memberi rasuah RM10,000 kepada seorang jurutera JKR Hulu Selangor untuk mendapatkan kerja mengganti dan menyelenggara jalan pada Januari 2019.

Tiga pertuduhan dibacakan hari ini sekali gus menjadikan tertuduh didakwa dengan tujuh pertuduhan berkaitan pemberian suapan.

Berdasarkan tiga pertuduhan dibacakan hari ini, dia didakwa memberi suapan berjumlah keseluruhan RM14,000 kepada Hairulnizam Sarudin, 44, seorang ejen Penolong Jurutera JA29 melalui mesin deposit tunai (CDM) ke akaun Maybank milik Hairulnizam.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk berbuat sesuatu berkaitan hal ehwal prinsipal Hairulnizam mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan bagi kerja pembaikan kerosakan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor.

Ia termasuk kerja penyelenggaraan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor serta kerja pembaikan lapis kalis air di dua blok asrama perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Maybank cawangan Ipoh Garden, Jalan Canning Estate, di sini antara 6 hingga 20 Disember 2019.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibaca mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Nazrin Sulaiman.

M Bakri dalam penghakimannya membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut bersama kes lain selain menetapkan 26 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, M Bakri tidak membenarkan permohonan Nazrin yang meminta jaminan ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, lalu menetapkan jaminan baharu RM8,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Asdi diiringi polis ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan memberi suapan kepada penjawat awam berhubung kerja pembaikan dan penyelenggaraan institusi di bawah naungan kerajaan, dua tahun lalu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Asdi diiringi polis ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan memberi suapan kepada penjawat awam berhubung kerja pembaikan dan penyelenggaraan institusi di bawah naungan kerajaan, dua tahun lalu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X