Rabu, 12 Januari 2022 | 7:32pm
Seekor harimau dilihat di luar pagar sebuah premis di Gua Musang, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
Seekor harimau dilihat di luar pagar sebuah premis di Gua Musang, kelmarin. - Foto ihsan pembaca

Harimau berkeliaran di Pos Bihai dipercayai dijangkiti CDV

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mendapati beberapa harimau belang yang berkeliaran dalam radius 10 kilometer di Pos Bihai, Gua Musang, dipercayai dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV).

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohd Hafid Rohani, berkata ia susulan beberapa sampel najis binatang berkenaan yang diambil di sekitar lokasi terbabit, dikesan positif virus itu.

Sekiranya dijangkiti virus itu, beliau berkata, harimau terbabit akan mengalami hidung berair dan berubah kelakuan.

Malah, katanya, virus itu turut menjangkiti harimau yang ditangkap pihak PERHILITAN Terengganu, beberapa bulan lalu.

"Berdasarkan hasil pemerhatian dan pemeriksaan pakar haiwan liar di Jabatan Veterinar Terengganu, ketika itu, virus berkenaan didapati menyebabkan haiwan liar terbabit seperti bingung dan tidak mampu membezakan sifat pemangsanya," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hafid berkata, pihaknya sedang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menangkap harimau yang berkeliaran itu, termasuk memasang tiga perangkap.

"Kita juga sedang mengkaji sama ada harimau yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli, Jumaat lalu, adalah daripada kumpulan tiga harimau berkeliaran itu atau kumpulan harimau lain di kawasan sekitar.

"Buat masa ini, kumpulan tiga harimau berkenaan dipercayai masih ada dan bergerak aktif.

"Disebabkan ancaman harimau, penduduk Orang Asli di beberapa kampung sekitar Pos Bihai sudah berpindah ke lokasi selamat," katanya.

Berita Harian X